Blogger Templates

Saturday 3 December 2011

Dasar MBMMBI


               Pendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini boleh menentukan jatuh bangun negara di masa akan datang, bukanlah sesuatu yang keterlaluan.               Ini kerana bahasa Inggeris menjadi lingua franca dalam aktiviti ekonomi global, yang akan menentukan kelangsungan negara ini di pentas dunia.

              Dilaksanakan pada 2003,  pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris palajar dengan hujah kebanyakan terma dan istilah dalam dua disiplin ilmu itu adalah dalam bahasa Inggeris. PPSMI diharap membolehkan penguasaan ilmu itu menjadi lebih mudah.
           
              Namun, selepas enam tahun pelaksanaannya, kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI selepas kajian menunjukkan PPSMI mengalami kegagalan dalam pelaksanaannya serta telah melebarkan jurang pencapaian di antara pelajar bandar dan luar bandar. Secara tidak langsung, PPSMI juga dikatakan menghakis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pengantar persekolahan sejak awal 1970-an.
            
               Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.
             
                Dalam pada itu, ramai yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris perlu dikuasai rakyat untuk membolehkan negara ini terus maju dan keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI membimbangkan beberapa pihak dan dianggap satu langkah ke belakang.

              Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kebimbangan ibu bapa berlaku kerana mereka keliru dengan pemansuhan PPSMI yang hanya menekankan kepada dua subjek, tetapi dasar itu sebenarnya akan diganti dengan dasar yang lebih baik.

"Matlamat asal penguasaan BI dikekalkan, malah ia ditambah baik dengan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan," katanya di sini.
           
                PPSMI sebenarnya diganti dengan dasar "Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris" atau MBMMBI yang disifatkan sebagai strategi pendidikan serampang dua mata.
              Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

              Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
              Memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

             Melalui dasar baru ini, penekanan terus diberikan kepada subjek bahasa Inggeris dan bukannya melalui subjek Sains dan Matematik, bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Kesimpulan:

              Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan bangsanya mempunyai identiti kebahasaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan. Justeru, bahasa Melayu dengan segala sifatnya dapat menjadi pembakar semangat kebangsaan di negara ini dan menjadi satu tunggak pembinaan negara merdeka serta identiti rakyat. Pemansuhan dasar PPSMI serta pelaksanaan dasar MBMMBI seharusnya memberi kita kesedaran tentang kepentingan bahasa Melayu yang melambangkan negara dan identiti kita dan pada masa yang sama bahasa Inggeris juga harus diperakui kepentingannya dalam memastikan generasi kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju dunia.
               Usaha untuk menjayakan dasar MBMMBI bukanlah mudah. Negara sememangnya tidak mahu warisan bahasa ditinggalkan seta dilupakan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang perlu diperkasakan. Dalam pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga masih dititikberatkan dan tidak ditinggalkan begitu sahaja. Oleh yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakan dasar ini selaras dengan menyeimbangkan kepentingan kedua-dua bahasa ini.
Alang-alang menyeluk perkasam,
                    Biar sampai ke pangkal lengan;
Alang-alang bahasa dijulang,
                   Biar kekal sepanjang zaman.
              Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.
              Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.
              Dengan usaha sama semua pihak serta pelaksanaan yang telus dan lancar, diharap suatu hari nanti bahasa Melayu sekali lagi dapat menjadi lingua franca bukan sahaja di rantau ini malah di seantero dunia. Dasar MBMMBI diharap mampu mengekal seta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebanggaan kita semua serta bahasa Inggeris sebagai kelebihan yang dipunyai oleh rakyat Malaysia.




1 comment:

  1. Baccarat (online) » Best casino to play online, poker, blackjack
    Play 카지노 Baccarat online. Baccarat is one of the best variations of the card game by 메리트카지노총판 the renowned Poker Room. The rules of Baccarat are 바카라 사이트 very simple.

    ReplyDelete