Blogger Templates

Saturday, 3 December 2011

Lima Peranan Guru Dalam Menjayakan MBMMBI


Lima Peranan Guru Dalam Menjayakan MBMMBI
i. Memupuk kesedaran dan minat murid terhadap subjek bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui kaedah, strategi dan teknik p&p
              Pepatah ada mengatakan "Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Oleh itu, bagi memastikan generasi muda kita dapat menguasai bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan baik, amatlah penting bagi guru untuk menarik minat mereka sejak di bangku sekolah lagi. Persoalannya, bagaimana guru hendak menarik dan memupuk kesedaran murid tentang kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? Jawapannya mudah sahaja iaitu melalui kepelbagaian strategi, kaedah dan teknik p&p di dalam bilik darjah. Guru yang berkesan ialah guru yang kreatif dan inovatif dalam p&pnya. Elemen-elemen menyeronokkan dan berkonsepkan didik hibur boleh diserap dan diperkenalkan di dalam bilik darjah.Guru boleh mempelbagaikan aktiviti p&p dengan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, persembahan, lakonan, kuiz dan sebagainya supaya proses p&p lebih menarik dan menyeronokkan. Pendekatan p&p yang sebegini menyediakan suasana bilik darjah yang lebih ceria dan menarik. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat murid untuk belajar serta menggalakkan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat dan pembelajaran yang lebih bermakna dan berkesan.

ii. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam p&p
              Perkembangan teknologi maklumat begiru dinamik termasuk juga di dalam bidang pendidikan. Sebagai seorang pendidik, kita perlu menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam menyempurnakan tugas proses pengajaran dan pembelajaran. Sedar atau tidak kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu gelombang yang telah mempengaruhi pendidikan di negara kita dari segi penyediaan infrastruktur juga kepada pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi maklumat seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan p&p yang bersifat interaktif serta menghiburkan. Oleh itu, guru perlulah memahirkan diri mereka dengan kemahiran teknologi ICT serta dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang meliputi bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar  objektif dan matlamat p&p mereka dapat dicapai.
iii. Menganjurkan dan menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam program bacaan
              Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pernah manyatakan hasrat beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai "Negara Pembaca". Ini kerana melalui bacaan, seseorang itu dapat meluaskan ilmu pengetahuannya baik dari segi ekonomi, politik, social dan lain-lain. Namun, yang penting di sini ialah melalui budaya membaca juga, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berbahasa seseorang itu dapat dipertingkat. Dalam usaha menjayakan dasar MBMMBI, guru boleh menggalakkan para pelajarnya terlibat dalam program bacaan seperti Komponen Sastera dalam bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur , Nilam dan sebagainya. Program atau aktiviti sebegini bukan sahaja mampu meluaskan pengetahuan para pelajar malah dapat juga mendedahkan mereka kepada elemen-elemen sastera dan seterusnya meningkatkan kemahiran berbahasa mereka.
iv. Mewujudkan Persekitaran Pembelajaran yang kondusif
              Aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah secara tersuratnya kelihatan tidak berkaitan dengan dasar MBMMBI  yang dibincangkan di sini. Namun, secara tersiratnya aspek ini memainkan peranan yang agak penting juga bagi guru dalam usaha menjayakan dasar ini.Seperti yang kita semua sedia maklum, sekolah ialah tempat penyebaran ilmu yang utama. Untuk menjadikan pelajar suka akan ilmu, guru harus bijak memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan sesuai untuk pelajar. Untuk itu, aspek kebersihan, keceriaan, dan keselamatan di sekolah harus juga dititikberatkan. Guru perlulah kreatif dalam memotivasikan murid untuk belajar di sekolah. Misalnya, guru boleh menyediakan bilik darjah yang ceria dengan bahan-bahan ABM atau BBM yang berwarna-warni serta menarik, suasana sosioemosi kelas yang mesra dan ceria serta persekitaran yang ideal untuk murid menimba ilmu. Dengan ini, p&p yang bermakna dan berkesan dapat diwujudkan.

v. Mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat
              Kita sebagai seorang dewasa mempunyai berbagai-bagai sebab untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai peringkat samaada diploma atau ijazah di pusat-pusat pengajian tinggi. Ada yang melanjutkan pelajaran kerana ingin mengikuti program atau aktiviti yang ditawarkan, ada yang inginkan kenaikan gaji atau pangkat dan ada juga yang inginkan kepuasan ilmu. Namun sebagai seorang pendidik yang matang dan bertanggungjawab, budaya pembelajaran sepanjang hayat haruslah diamalkan. Peluang untuk menimba ilmu serta kemahiran haruslah direbut bagi memajukan diri, meningkatkan profesionalisme keguruan serta menyampaikan ilmu pengetahuan yang kita peroleh kepada anak didik kita. Peluang untuk mengahdiri kursus-kursus, bengkel-bengkel, seminar-seminar mahupun peluang melanjutkan pelajaran seperti program PPG,PJJ dan sebagainya mampu memastikan negara menghasilkan pendidik yang berkualiti serta berpengetahuan luas.

Strategi Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris


Strategi memartabatkan Bahasa Melayu meliputi perkara-perkara berikut:
● Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Melayu
● Asas Berbahasa (Back To Basics)
● Didik Hibur
● Penggunaan Bahasa Melayu Standard Merentas Kurikulum
● Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
● Program Bacaan
● Guru Bahasa Melayu Berkualiti
●  Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
●  Bahasa Melayu Bahasa Ilmu dan Komunikasi
●  Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Melayu di Universiti Luar Negara
●  Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Strategi memperkukuhkan Bahasa Inggeris meliputi perkara-perkara berikut:
 Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris
  Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Renda
   Asas Berbahasa (Back to Basics)
   Didik Hibur – Modul Language Arts
   Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
   Penetapan Model Bahasa Inggeris
   Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah
   Sumber P&P – Makmal Komputer
   Guru : Contact Time Berkualiti
   Perkongsian dan Jaringan Guru
   Kepimpinan Sekolah
              Usaha menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
             Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.

              Tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan matematik.

              Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.

               Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.

               Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian itu juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar bandar.

               Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti maka dasar baru itu akan dilaksanakan.

              Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan.

              Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan.

              Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.

               Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru berpencen yang diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.

               Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

               Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.

               Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Tujuan, Rasional dan Pelaksanaan Dasar MBMMBI


Tujuan MBMMBI
  1. Tujuan utama memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
  2. Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.


Rasional
• Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut.

• Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an.

•  Kebanyakkan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Pelaksanaan

• Bermula dengan Tahun Satu, Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Pada masa yang sama Bahasa Cina digunakan di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT

•  Perubahan tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi

•  Perubahan sepenuhnya mengambil masa selama 3 tahun

•  Bermula pada tahun 2012

•  Peperiksaan SPM Sains dan Matematik dalam dwi bahasa sehingga 2015

Dasar MBMMBI


               Pendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini boleh menentukan jatuh bangun negara di masa akan datang, bukanlah sesuatu yang keterlaluan.               Ini kerana bahasa Inggeris menjadi lingua franca dalam aktiviti ekonomi global, yang akan menentukan kelangsungan negara ini di pentas dunia.

              Dilaksanakan pada 2003,  pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris palajar dengan hujah kebanyakan terma dan istilah dalam dua disiplin ilmu itu adalah dalam bahasa Inggeris. PPSMI diharap membolehkan penguasaan ilmu itu menjadi lebih mudah.
           
              Namun, selepas enam tahun pelaksanaannya, kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI selepas kajian menunjukkan PPSMI mengalami kegagalan dalam pelaksanaannya serta telah melebarkan jurang pencapaian di antara pelajar bandar dan luar bandar. Secara tidak langsung, PPSMI juga dikatakan menghakis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pengantar persekolahan sejak awal 1970-an.
            
               Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.
             
                Dalam pada itu, ramai yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris perlu dikuasai rakyat untuk membolehkan negara ini terus maju dan keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI membimbangkan beberapa pihak dan dianggap satu langkah ke belakang.

              Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kebimbangan ibu bapa berlaku kerana mereka keliru dengan pemansuhan PPSMI yang hanya menekankan kepada dua subjek, tetapi dasar itu sebenarnya akan diganti dengan dasar yang lebih baik.

"Matlamat asal penguasaan BI dikekalkan, malah ia ditambah baik dengan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan," katanya di sini.
           
                PPSMI sebenarnya diganti dengan dasar "Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris" atau MBMMBI yang disifatkan sebagai strategi pendidikan serampang dua mata.
              Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

              Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
              Memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

             Melalui dasar baru ini, penekanan terus diberikan kepada subjek bahasa Inggeris dan bukannya melalui subjek Sains dan Matematik, bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Kesimpulan:

              Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan bangsanya mempunyai identiti kebahasaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan. Justeru, bahasa Melayu dengan segala sifatnya dapat menjadi pembakar semangat kebangsaan di negara ini dan menjadi satu tunggak pembinaan negara merdeka serta identiti rakyat. Pemansuhan dasar PPSMI serta pelaksanaan dasar MBMMBI seharusnya memberi kita kesedaran tentang kepentingan bahasa Melayu yang melambangkan negara dan identiti kita dan pada masa yang sama bahasa Inggeris juga harus diperakui kepentingannya dalam memastikan generasi kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju dunia.
               Usaha untuk menjayakan dasar MBMMBI bukanlah mudah. Negara sememangnya tidak mahu warisan bahasa ditinggalkan seta dilupakan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang perlu diperkasakan. Dalam pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga masih dititikberatkan dan tidak ditinggalkan begitu sahaja. Oleh yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakan dasar ini selaras dengan menyeimbangkan kepentingan kedua-dua bahasa ini.
Alang-alang menyeluk perkasam,
                    Biar sampai ke pangkal lengan;
Alang-alang bahasa dijulang,
                   Biar kekal sepanjang zaman.
              Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.
              Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.
              Dengan usaha sama semua pihak serta pelaksanaan yang telus dan lancar, diharap suatu hari nanti bahasa Melayu sekali lagi dapat menjadi lingua franca bukan sahaja di rantau ini malah di seantero dunia. Dasar MBMMBI diharap mampu mengekal seta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebanggaan kita semua serta bahasa Inggeris sebagai kelebihan yang dipunyai oleh rakyat Malaysia.




Monday, 28 November 2011

Gunakanlah Bahasa Melayu Dengan Tepat Dan Betul

Bahasa melambangkan bangsa. Dalam kesibukan kita mewar-warkan kempen Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), ramai  lagi yang masih leka dan mengambil sikap sambil lewa tentang penggunaan Bahasa Melayu dengan tepat dan betul. Mari kita renung-renungkan kesalahan bahasa di papan-papan tanda dan papan-papan iklan. Sambil itu, kita fikir-fikirkanlah apakah cara yang paling baik untuk mengatasi masalah pencemaran bahasa ini.


























Kata Nama Khas

Kata Nama Khas
1. Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa.
2. Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang.
Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku, nama bangunan, dan sebagainya.
Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas.
a)    benda; misalnya : Seri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
b)    orang; misalnya : Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
c)     binatang ; misalnya : Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
d)    tempat ; misalnya : Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.
 
manusia
Zalina, Mei Ling, Cikgu Tan
Subramaniam
binatang
Tompok (kucing), Si Putih, Pak Belang,
Jalak (ayam)
tempat
Muar (daerah), Klinik Azhar, Taman Muhibah,
Seremban (bandar),
Jepun (negara)
bangunan
Pudu Raya (perhentian bas dan teksi), 
Menara Tun Razak (pejabat)
judul buku
Keluarga (majalah),
Rentong (novel),
Kamus Dewan ( buku)
benda
Proton Wira
(kereta), Pilot
(pen), Seiko (jam)
 
Perbandingan di antara Kata Nama Am dan Kata Nama Khas

Kegunaan
Kata Nama Am
Kata Nama Khas
Benda
bangunan
kereta
buku
sekolah
Bangunan Tabung Haji
Proton Saga
Bahasa Melayu
S.K. Darau
Orang
doktor
kerani
guru
budak lelaki
Doktor Efendi
Puan Zainun
Cikgu Azmi
Muhamad Fauzi
Binatang
kucing
lembu
katak
ayam
burung
Si Tompok
Lembu Sapi
Katak Puru
Ayam Belanda
Burung Murai
Tempat
negeri
bandar
kampung
tasek
Terengganu
Jerteh
Kampung Pasir Akar
Tasek Perdana
Tumbuhan
pisang
cili
jambu
limau
Pisang Emas
Cili Padi
Jambu Batu
Limau Kasturi