Blogger Templates

Saturday 3 December 2011

Lima Peranan Guru Dalam Menjayakan MBMMBI


Lima Peranan Guru Dalam Menjayakan MBMMBI
i. Memupuk kesedaran dan minat murid terhadap subjek bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui kaedah, strategi dan teknik p&p
              Pepatah ada mengatakan "Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Oleh itu, bagi memastikan generasi muda kita dapat menguasai bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan baik, amatlah penting bagi guru untuk menarik minat mereka sejak di bangku sekolah lagi. Persoalannya, bagaimana guru hendak menarik dan memupuk kesedaran murid tentang kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? Jawapannya mudah sahaja iaitu melalui kepelbagaian strategi, kaedah dan teknik p&p di dalam bilik darjah. Guru yang berkesan ialah guru yang kreatif dan inovatif dalam p&pnya. Elemen-elemen menyeronokkan dan berkonsepkan didik hibur boleh diserap dan diperkenalkan di dalam bilik darjah.Guru boleh mempelbagaikan aktiviti p&p dengan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, persembahan, lakonan, kuiz dan sebagainya supaya proses p&p lebih menarik dan menyeronokkan. Pendekatan p&p yang sebegini menyediakan suasana bilik darjah yang lebih ceria dan menarik. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat murid untuk belajar serta menggalakkan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat dan pembelajaran yang lebih bermakna dan berkesan.

ii. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam p&p
              Perkembangan teknologi maklumat begiru dinamik termasuk juga di dalam bidang pendidikan. Sebagai seorang pendidik, kita perlu menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam menyempurnakan tugas proses pengajaran dan pembelajaran. Sedar atau tidak kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu gelombang yang telah mempengaruhi pendidikan di negara kita dari segi penyediaan infrastruktur juga kepada pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi maklumat seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan p&p yang bersifat interaktif serta menghiburkan. Oleh itu, guru perlulah memahirkan diri mereka dengan kemahiran teknologi ICT serta dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang meliputi bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar  objektif dan matlamat p&p mereka dapat dicapai.
iii. Menganjurkan dan menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam program bacaan
              Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pernah manyatakan hasrat beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai "Negara Pembaca". Ini kerana melalui bacaan, seseorang itu dapat meluaskan ilmu pengetahuannya baik dari segi ekonomi, politik, social dan lain-lain. Namun, yang penting di sini ialah melalui budaya membaca juga, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berbahasa seseorang itu dapat dipertingkat. Dalam usaha menjayakan dasar MBMMBI, guru boleh menggalakkan para pelajarnya terlibat dalam program bacaan seperti Komponen Sastera dalam bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur , Nilam dan sebagainya. Program atau aktiviti sebegini bukan sahaja mampu meluaskan pengetahuan para pelajar malah dapat juga mendedahkan mereka kepada elemen-elemen sastera dan seterusnya meningkatkan kemahiran berbahasa mereka.
iv. Mewujudkan Persekitaran Pembelajaran yang kondusif
              Aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah secara tersuratnya kelihatan tidak berkaitan dengan dasar MBMMBI  yang dibincangkan di sini. Namun, secara tersiratnya aspek ini memainkan peranan yang agak penting juga bagi guru dalam usaha menjayakan dasar ini.Seperti yang kita semua sedia maklum, sekolah ialah tempat penyebaran ilmu yang utama. Untuk menjadikan pelajar suka akan ilmu, guru harus bijak memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan sesuai untuk pelajar. Untuk itu, aspek kebersihan, keceriaan, dan keselamatan di sekolah harus juga dititikberatkan. Guru perlulah kreatif dalam memotivasikan murid untuk belajar di sekolah. Misalnya, guru boleh menyediakan bilik darjah yang ceria dengan bahan-bahan ABM atau BBM yang berwarna-warni serta menarik, suasana sosioemosi kelas yang mesra dan ceria serta persekitaran yang ideal untuk murid menimba ilmu. Dengan ini, p&p yang bermakna dan berkesan dapat diwujudkan.

v. Mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat
              Kita sebagai seorang dewasa mempunyai berbagai-bagai sebab untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai peringkat samaada diploma atau ijazah di pusat-pusat pengajian tinggi. Ada yang melanjutkan pelajaran kerana ingin mengikuti program atau aktiviti yang ditawarkan, ada yang inginkan kenaikan gaji atau pangkat dan ada juga yang inginkan kepuasan ilmu. Namun sebagai seorang pendidik yang matang dan bertanggungjawab, budaya pembelajaran sepanjang hayat haruslah diamalkan. Peluang untuk menimba ilmu serta kemahiran haruslah direbut bagi memajukan diri, meningkatkan profesionalisme keguruan serta menyampaikan ilmu pengetahuan yang kita peroleh kepada anak didik kita. Peluang untuk mengahdiri kursus-kursus, bengkel-bengkel, seminar-seminar mahupun peluang melanjutkan pelajaran seperti program PPG,PJJ dan sebagainya mampu memastikan negara menghasilkan pendidik yang berkualiti serta berpengetahuan luas.

No comments:

Post a Comment