Lima Peranan Guru Dalam Menjayakan
MBMMBI
i. Memupuk kesedaran dan minat murid terhadap subjek bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris melalui kaedah, strategi dan teknik p&p
Pepatah ada mengatakan "Kalau hendak
melentur buluh biarlah dari rebungnya". Oleh itu, bagi memastikan generasi
muda kita dapat menguasai bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan baik,
amatlah penting bagi guru untuk menarik minat mereka sejak di bangku sekolah
lagi. Persoalannya, bagaimana guru hendak menarik dan memupuk kesedaran murid
tentang kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? Jawapannya mudah sahaja
iaitu melalui kepelbagaian strategi, kaedah dan teknik p&p di dalam bilik
darjah. Guru yang berkesan ialah guru yang kreatif dan inovatif dalam
p&pnya. Elemen-elemen menyeronokkan dan berkonsepkan didik hibur boleh diserap
dan diperkenalkan di dalam bilik darjah.Guru boleh mempelbagaikan aktiviti
p&p dengan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, persembahan, lakonan, kuiz
dan sebagainya supaya proses p&p lebih menarik dan menyeronokkan.
Pendekatan p&p yang sebegini menyediakan suasana bilik darjah yang lebih
ceria dan menarik. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat murid untuk
belajar serta menggalakkan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat dan
pembelajaran yang lebih bermakna dan berkesan.
ii. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam
p&p
Perkembangan teknologi maklumat begiru dinamik termasuk juga di dalam
bidang pendidikan. Sebagai seorang pendidik, kita perlu menguasai kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi dalam menyempurnakan tugas proses pengajaran
dan pembelajaran. Sedar atau tidak kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
telah menjadi satu gelombang yang telah mempengaruhi pendidikan di negara kita
dari segi penyediaan infrastruktur juga kepada pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan teknologi maklumat seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman
web dapat menyediakan p&p yang bersifat interaktif serta menghiburkan. Oleh
itu, guru perlulah memahirkan diri mereka dengan kemahiran teknologi ICT serta dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang meliputi bidang teknologi maklumat
dan komunikasi agar objektif dan
matlamat p&p mereka dapat dicapai.
iii. Menganjurkan dan menggalakkan pelajar melibatkan diri
dalam program bacaan
Perdana
Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pernah manyatakan hasrat beliau
untuk menjadikan Malaysia sebagai "Negara Pembaca". Ini kerana
melalui bacaan, seseorang itu dapat meluaskan ilmu pengetahuannya baik dari
segi ekonomi, politik, social dan lain-lain. Namun, yang penting di sini ialah
melalui budaya membaca juga, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berbahasa
seseorang itu dapat dipertingkat. Dalam usaha menjayakan dasar MBMMBI, guru
boleh menggalakkan para pelajarnya terlibat dalam program bacaan seperti
Komponen Sastera dalam bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah,
Bacaan Awal Berstruktur , Nilam dan sebagainya. Program atau aktiviti sebegini
bukan sahaja mampu meluaskan pengetahuan para pelajar malah dapat juga
mendedahkan mereka kepada elemen-elemen sastera dan seterusnya meningkatkan
kemahiran berbahasa mereka.
iv. Mewujudkan Persekitaran
Pembelajaran yang kondusif
Aspek kebersihan, keceriaan
dan keselamatan di sekolah secara tersuratnya kelihatan tidak berkaitan dengan
dasar MBMMBI yang dibincangkan di sini.
Namun, secara tersiratnya aspek ini memainkan peranan yang agak penting juga
bagi guru dalam usaha menjayakan dasar ini.Seperti yang kita semua sedia
maklum, sekolah ialah tempat penyebaran ilmu yang utama. Untuk menjadikan
pelajar suka akan ilmu, guru harus bijak memainkan peranan bagi mewujudkan
persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan sesuai untuk pelajar. Untuk
itu, aspek kebersihan, keceriaan, dan keselamatan di sekolah harus juga
dititikberatkan. Guru perlulah kreatif dalam memotivasikan murid untuk belajar
di sekolah. Misalnya, guru boleh menyediakan bilik darjah yang ceria dengan
bahan-bahan ABM atau BBM yang berwarna-warni serta menarik, suasana sosioemosi
kelas yang mesra dan ceria serta persekitaran yang ideal untuk murid menimba
ilmu. Dengan ini, p&p yang bermakna dan berkesan dapat diwujudkan.
v. Mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang
hayat
Kita sebagai seorang dewasa
mempunyai berbagai-bagai sebab untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai
peringkat samaada diploma atau ijazah di pusat-pusat pengajian tinggi. Ada yang
melanjutkan pelajaran kerana ingin mengikuti program atau aktiviti yang
ditawarkan, ada yang inginkan kenaikan gaji atau pangkat dan ada juga yang
inginkan kepuasan ilmu. Namun sebagai seorang pendidik yang matang dan
bertanggungjawab, budaya pembelajaran sepanjang hayat haruslah diamalkan.
Peluang untuk menimba ilmu serta kemahiran haruslah direbut bagi memajukan
diri, meningkatkan profesionalisme keguruan serta menyampaikan ilmu pengetahuan
yang kita peroleh kepada anak didik kita. Peluang untuk mengahdiri
kursus-kursus, bengkel-bengkel, seminar-seminar mahupun peluang melanjutkan
pelajaran seperti program PPG,PJJ dan sebagainya mampu memastikan negara
menghasilkan pendidik yang berkualiti serta berpengetahuan luas.